
Galeri Kerja Kayu dan Gaya Hidup
Di seluruh dunia Islam, penggunaan bahan kayu amat ketara dalam pelbagai aspek kehidupan. Dari kegunaan harian hingalah kegunaan istiadat, nilai kesenian tidak pernah diabaikan di dalam hasil kerja kayu Islam. Walaupun setiap daerah Islam berbeza antara satu sama lain, namun dari segi tradisi dan adat resam, minat yang mendalam dalam pertukangan kayu dikongsi bersama daripada segi teknik, bahan dan kemahiran kerja.
Tukang-tukang kayu Muslim memberi perhatian yang teliti pada bahan kayu kerana ia jarang dapat diperolehi di kebanyakan tempat. Di samping kekurangan bahan, tukang-tukang kayu juga biasanya tinggal di kawasan yang mempunyai iklim yang memudahkan kayu meleding dan mengecut. Oleh itu, mereka telah memupuk kepakaran yang tiada tandingannya dengan menggabungkan pelbagai jenis kayu dengan bahan-bahan berharga seperti gading dan gewang (siput mutiara).
Ukiran yang rumit, bentuk-bentuk geometri, ukiran timbul dan penggunaan barangan mewah seperti gading, cengkerang kura-kura dan gewang merupakan sebahagian daripada hasil kerja tangan tukang kayu Muslim. Mereka juga memperkembangkan teknik-teknik ukiran dan hiasan kayu seperti kekisi, potongan serong dan ukiran timbul yang menghasilkan barangan yang indah dan diminati di serata tempat. Sifat serba guna bahan kayu merangkumi hiasan dinding, siling, ukiran pintu, sikat rambut, barang-barang kemas, bekas-bekas apotekari dan juga panel-panel tingkap.
Kepakaran pengukir-pengukir kayu Muslim telah mencipta satu warisan yang dikagumi di seluruh dunia, malahan, kemahiran mereka turut diiktiraf oleh putera-putera raja dan ketua-ketua Paderi di Eropah. Walaupun setelah beberapa abad selepas Sepanyol tidak lagi berada di bawah pemerintahan Islam, tukang-tukang kayu di Sepanyol telah menghasilkan semula rekaan-rekaan daripada zaman Islam yang lampau. Kotak-kotak kayu telah menjadi tumpuan utama mereka dan tradisi Islam diteruskan melalui penggunaan corak-corak yang rumit. Ada kalanya tulisan seperti “Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah” turut disertakan.