
Senjata dan Perisai
Nilai estetika dan kehalusan pertukangan pada senjata dan perisai Islam telah lama mendapat perhatian dunia. Kebanyakan budaya lain meletakkan usaha yang tinggi dalam memperindahkan seni peperangan, namun di dunia Islam, sudut kerohanian tidak diabaikan.
Barangan senjata dan perisai Islam terkenal dengan keindahannya. Oleh itu ianya telah di kumpul sebagai bahan senjata sejak beratus tahun dahulu, malah, ia juga dikagumi oleh pihak lawan ketika di medan peperangan. Sama ada untuk kegunaan harian atau istiadat, objek-objek ini mengingatkan kita tentang kepakaran dan komitmen tukang senjata. Barangan senjata dan perisai Islam kerap kali dihias mewah dalam pelbagai teknik termasuklah tatahan damsyik, ukiran, tatahan dan saduran enamel serta hiasan batu-batu permata berharga. Kebanyakan senjata dan perisai juga turut dihiasi dengan motif bunga-bungaan, arabes dan geometri, ada kalanya motif figura turut digunakan.
Kemajuan tertinggi di dalam pembuatan kerja logam adalah penciptaan keluli tatahan Damsyik yang digunakan di seluruh dunia Islam. Sifatnya mudah lentur tetapi mampu dibentuk menjadi bilah yang tajam menjadikannya amat sesuai untuk dijadikan pedang, kapak, cokmar dan lembing yang berkualiti tinggi. Terdapat pelbagai jenis senjata mengikut daerah. Yang paling mudah dikenali ialah pisau belati pendek yang melengkung serta pedang yang panjang dan melengkung.
Dengan kemunculan senjata api, nilai-nilai estetika tetap menjadi keutamaan dan imaginasi tukang senjata api Islam semakin melonjak tinggi. Senapang dan pistol dihiasi dengan gaya-gaya yang hebat. Perhiasan serupa yang lain termasuklah tatahan-tatahan emas, perak, gading atau gewang (siput mutiara) pada bahagian kekunci, pangkal senapang dan laras.
Senapang Tipu Sultan
Tipu Sultan merupakan pemerintah Mysore yang dilahirkan pada 1750 dan meninggal dunia pada 1799. Rekaan dan ciri-ciri senjata api pada zamannya sangat unik dengan motif bubri dalam bentuk kepala harimau dengan nama julukan “Singa Agung yang Gemilang”. Motif ini boleh ditemui pada hampir kesemua barangan dalam zaman tersebut, daripada takhtanya sehinggalah kepada pakaian seragam tenteranya. Senapang Tipu Sultan yang dipamerkan di sini dihiasi dengan tatahan tulang dan juga gambaran haiwan.