
Galeri Dunia Melayu
Dunia Melayu bersambung dari Selatan Thailand, Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera, ke Jawa , Sulawesi dan Selatan Filipina. Kepulauan ini telah menjadi wilayah Islam yang paling Timur pada 500 tahun yang lalu. Seperti tanah tropikanya yang subur, kesenian rantau ini adalah hasil gabungan berbagai tradisi.
Selama beberapa abad, Asia Tenggara merupakan laluan perdagangan terpenting yang pernah disaksikan dunia, melebihi laluan sutera dari segi kualiti dan kuantiti. Ia merupakan tempat pertemuan bagi berbagai empayar Asia, serta sebagai kuasa perdagangan baru yang muncul dari Barat. Yang menjadi tunggak kepada pengaruh global pada waktu itu ialah Islam, yang memandu kebudayaan kemewahan yang terbatas.
Tema-tema dalam gaya tumbuhan, buah-buahan, dan awan larat boleh di lihat dalam berbagai bahantara. Contohnya pada tekstil, ia digunakan sehingga ke tahap abstrak yang dimasukkan ke dalam corak geometri semata-mata. Selari dengan ini adalah penggunaan tulisan khat, yang memberi lebih kesan visual pegangan agama. Bahan asal kain-kain ini dihasilkan menambahkan kehebatannya. Benang emas dan sutera ikat-celup yang beradun mencerminkan penghormatan asal usul penghasilannya.
Al-Qur’an dam Manuskrip Dunia Melayu mudah dikenali dengan skrol tumbuhan, sulur paut, dan motif bunga-bungaan yang lain, memperlihatkan hubungan erat rantau ini dengan alam sekitarnya. Paletnya juga agak berlainan, dengan penggunaan warna kontra merah, kuning dan hitam dihiasi dengan emas bagi manuskrip untuk istana diraja.
Pertukangan kayu dan logam merupakan satu lagi tradisi yang pernah terkenal di Dunia Melayu. Konsep dan kualiti yang mantap merupakan sebahagian daripada kesenian Melayu. Terutama sekali barangan untuk melayan para tetamu, lazimnya seperti set tepak sirih perak yang sangat cantik ataupun dulang-dulang tembaga yang dibentuk indah.
Kain Limar
Gabungan harmoni pelbagai warna pada tekstil dari Dunia Melayu boleh dilihat pada contoh-contoh tenunan halus kain limar. Negeri Terrengganu dan Kelantan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu merupakan penghasil utama kain limar. Meskipun kini, kain-kain tersebut dikaitkan dengan Kesultanan Terengganu, tetapi pada suatu masa dahulu ia merupakan sebahagian daripada pakaian istiadat di kepulauan Riau dan Lingga. Kadangkala, kain limar ini turut dihiasi dengan benang pakan emas, yang hanya ditenun di atas kain sutera. Ini menghasilkan satu tenunan indah yang dikenali sebagai limar bersongket.
Songket
“Kain-kain emas” seperti songket ini yang pada suatu ketika dahulu merupakan koleksi simpanan kerabat diraja dan bangsawan, masih lagi menjadi kebanggaan pelbagai budaya di Asia Tenggara. Fabriknya yang kejang memudahkannya dipakai sebagai selendang yang diletakkan di atas bahu oleh golongan wanita, ataupun ia diikat di pinggang sebagai sebahagian daripada pakaian istiadat golongan lelaki. Kemasyhuran kain songket kekal di kalangan masyarakat Melayu sehingga hari ini.
Batik Bertulis
Batik bertulis yang lazimnya mengandungi tulisan ayat suci al-Qur’an mempunyai nilai yang tinggi kerana dipercayai boleh memberi perlindungan kepada si pemakai. Pada suatu ketika dahulu, ia merupakan pakaian asas dalam kehidupan seharian, dan juga digunakan sewaktu upacara dan istiadat masyarakat Islam di Asia Tenggara. Batik bertulis mempunyai banyak kegunaanya, seperti lilit kepala untuk lelaki, ataupun sebagai selendang untuk wanita. Kegunaan yang lain termasuk sebagai penutup keranda atau makam sewaktu upacara pengebumian. Ia juga digunakan sebagai hiasan gantung ataupun panji.
Keris
Keris merupakan senjata yang paling dikagumi di seluruh dunia Melayu. Ia merupakan sebuah simbol identiti kebangsaan di Malaysia. Keris yang mempunyai bilah berliku melambangkan semangat kepahlawanan di Asia Tenggara. Sama ada untuk kegunaan harian ataupun istiadat, ia sentiasa dikagumi. Perkara-perkara ajaib dan mengagumkan masih lagi dikaitkan dengan keris. Ia dipercayai boleh melakukan perkara-perkara luar biasa seperti mengalirkan air mata dan terbang dengan sendirinya untuk membunuh mangsa. Kualiti pembuatannya tidak boleh disangkal lagi. Selain daripada bilahnya yang dihasilkan dengan penuh teliti, hulu dan sarungnya juga dihias indah.