
Galeri Tekstil
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kepentingan tekstil dari dunia Islam telah diberi perhatian yang lebih mendalam. Ini kerana objek-objek ini menyampaikan gambaran status sosial dan juga kepercayaan agama. Di samping itu, kain-kain yang halus buatannya turut dianggap sebagai tanda kemewahan. Hasil buatan tekstil dunia Islam dikagumi di serata dunia dan dagangan barangan ini tidak mudah terjejas walaupun berlakunya sebarang pergolakan.
Tenunan sutera dari dunia Islam telah dikumpul dengan banyaknya di benua Eropah sejak zaman pertengahan lagi, ini memperlihatkan pengikitirafan dunia terhadap kemahiran seniman Islam. Namun begitu, tekstil dari dunia Islam hanya mencapai puncak kegemilangannya pada zaman ke-19, apabila kain-kain dari India memenuhi pasaran dunia. Empayar Mughal memainkan peranan utama di dalam penghasilan kain-kain bermutu tinggi, lantas telah mengambil alih tempat kain-kain Arab di pasaran. Kain-kain sutera bercorak indah, kain-kain kapas bercelup warna-warna kekal dan terang beserta hasil sulaman dari rantau tersebut begitu popular sekali di mata dunia. Sulaman juga merupakan kemahiran yang dipelopori oleh negara Iran dan empayar Uthmaniyyah. Kemahiran ini kemudiannya menjadi begitu penting di dalam budaya Indo-Parsi yang diamalkan di istana-istana Mughal.
Ikat
Berbeza dengan tekstil yang dihasilkan di India dan Iran, tekstil Asia Tengah amat mudah dikenali melalui warna-warnanya yang terang dan motif-motifnya yang ketara. Walaupun sulaman digunakan secara meluas, tetapi hasil seni tenunan ikat dari wilayah inilah yang paling menarik perhatian. Bukhara dan Samarqand merupakan dua tempat utama yang menghasilkan pakaian dan kain gantung pada dinding yang menggunakan warna-warna terang. Samada ditenun pada sutera, ataupun gabungan kain kapas dan sutera, kain ikat ini mempunyai gayanya yang tersendiri dengan memperlihatkan penampilan moden.
Lain-lain Tekstil
Kemahiran masyarakat India dalam menghasilkan tenunan dan juga pencetakan hanya boleh ditandingi dengan sulaman. Inspirasi dari Iran amat ketara pada tradisi tekstil yang dihasilkan di India, termasuklah selendang Kashmir. Tenunan sutera dan kain broked baldu yang diperkenalkan oleh Maharaja Akbar yang memerintah pada abad ke-16 diilhamkan daripada tenunan Parsi. Tenunan sutera yang terperinci dan celupan warna yang terang untuk kain kapas amat popular. Motif-motif tumbuhan dari Kashmir meninggalkan kesan yang mendalam di pentas dunia, terutamanya pada penghasilan selendang-selendang yang kemudiannya ditiru oleh bengkel-bengkel kain Paisley di Scotland.