
Seramik & Kaca
Barangan seramik adalah antara hasil kesenian Islam yang paling berwarna-warni. Tukang tembikar dari serata dunia Islam amat mahir dalam penghasilan barangan yang berkualiti tinggi. Pengaruh bagi hasil seni ini datang dari pelbagai tempat, terutamanya dari China, namun hasilnya tetap unik kepada tradisi negara yang berbeza. Kesemua barangan tembikar Islam memperlihatkan semangat kesenian yang tinggi, biarpun pada mangkuk berkaligrafi ringkas dari Nishapur hinggalah ke hasil lukisan berkilat dari Kashan.
Sejak dahulu lagi, tukang-tukang tembikar Islam amat mengagumi keindahan barangan porselin dari China, tetapi tanah liat kaolin yang diperlukan tidak terdapat di dunia Islam. Namun begitu, tukang tembikar Islam tidak berputus asa. Dalam usaha mereka untuk meniru tradisi seramik dari dunia luar, mereka telah berjaya mencipta tradisi mereka sendiri yang kemudiannya tersebar ke suluruh dunia.
Perkembagan barangan berlukis kilat yang menghasilkan kesan logam pada permukaan bahan seramik merupakan salah satu kemajuan yang berlaku di Mesopotamia pada abad ke-9 masihi. Hasil seni ini juga telah melalui beberapa proses kebangkitan di daerah-daerah lain. Dari segi hiasan pula, pencapaian terunggul di dalam era permulaan ini merupakan pengunaan kaligrafi Arab. Reka corak ini mengubah barangan seramik dari objek biasa, lalu memperlihatkan semangat keIslaman dengan sepenuhnya.
Pelbagai perubahan yang ketara telah berlaku dalam sejarah hasil seni seramik di dunia Islam, dari hiasan monokrom Nishapur pada abad ke-10 hingga ke-11 sehinggalah kepada hiasan berjalinan dan berglis biru firus yang diperkembangkan di Iran pada abad-abad seterusnya. Pembaharuan teknik memberi laluan kepada rekacipta struktur yang baru, di mana kebanyakannya bergantung pada bahan mentah komposit yang dikenali sebagai ‘serdak campuran’.
Barangan berlukis bahan kilat terus berkembang pada abad ke-13 masihi, jubin berhias kaligrafi rumit contohnya, merupakan keistimewaan daerah Kashan. Pengaruh seramik China juga menjadi semakin jelas, namun tukang tembikar Islam mula menumpukan lebih banyak perhatian kepada motif hiasan. Usaha ini mewujudkan satu kacukan seni yang mengagumkan, ia menonjolkan sifat kesenian Islam yang tersendiri di samping memperlihatkan hasil seni kaligrafi Arab dan Iran yang serba indah.
Iznik
Penekanan yang diberikan pada seni seramik agak berbeza di dalam empayar Uthmaniyyah. Antara sumbangan seni kerajaan ini yang sukar dilupakan adalah seramik Iznik. Lazimnya, barangan seramik Iznik tidak banyak bergantung kepada hiasan kaligrafi. Ia lebih tertumpu kepada hiasan berbentuk bunga-bungaan dalam warna-warna yang terang. Pada peringkat awal, sekitar abad ke 15 masihi, hiasan seramik Iznik hanya berwarna putih dan biru. Dua abad kemudian, motif bunga-bungaan yang berwarna-warni telah mula kelihatan dan ianya dilukis dengan tangan secara bebas. Jubin sekali lagi menjadi ciri hiasan senibina yang penting, kebanyakan bangunan di serata empayar tersebut dihiasi menggunakan jubin-jubin yang mempunyai corak-corak kecil berulang ataupun jubin-jubin yang bersambung untuk mencipta satu corak yang lebih besar.