
Galleri India
Sejarah Islam di India bermula sejak 3 abad sebelum zaman Mughal, yang bertahan dari 1526-1828. Berbagai dinasti Islam telah memerintah India Utara, yang membawa banyak pengaruh Parsi ke benua tersebut. Dengan kehadiran Babur, pengasas empayar Mughal, bermulalah zaman kegemilangan kesenian Islam di India.
Pencapaian kerajaan Mughal dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan. Setiap aspek kehidupan istana diperindahkan tanpa sebarang sekatan. Mereka amat berminat dalam bidang fesyen serta batu permata, dan pencapaian bidang seni bina yang tiada tandingan. Galeri India memberikan imbasan dalam dunia kehidupan masyarakat dan peribadi pemerintah Mughal.
Kehidupan istana memerlukan berbagai perkakasan yang amat menarik. Selain seramik, tradisi kerja logam Islam juga merupakan pilihan yang mewah. Perak bersepuh emas, tembaga, enamel dan emas bertatah batu permata digunakan di atas barangan harian. Di peringkat yang kurang mewah, pada abad ke 16, orang-orang India mencipta peralatan bidri. Ia merupakan barangan loyang bertatah perak yang melambangkan tradisi Mughal yang berwarna-warni dan berkualiti.
Jali
Selalunya diperbuat daripada kayu, marmar atau batu pasir, yang merupakan elemen seni bina yang berfungsi sebagai tingkap di istana Mughal dan Rajput di utara dan tengah India. Secara tradisi ia digunakan untuk memisahkan jantina dan membahagi ruang umum dan peribadi di istana, dan ia juga boleh berfungsi sebagai pengalih udara yang praktikal.
Lukisan mini
Terdapat banyak kesenian Islam Mughal yang terkeluar dari aliran Islam. Yang paling ketara ialah minat terhadap potret. Keghairahan terhadap lukisan mini adalah disebabkan keanggunan, dan tanggapan mengenai kehidupan yang diwakili sewaktu zamannya. Lukisan mini pada zaman itu dipenuhi dengan gambar-gambar pemerintah, golongan bangsawan dan kuda-kuda di samping itu memberi latar belakang yang berguna mengenai fesyen dan hiasan dalaman.