Loading the content... Loading depends on your connection speed!

img

Kerja Logam

Hasil-hasil kerja logam menduduki taraf yang tinggi dalam kesenian Islam. Walaupun kebanyakan objek logam yang kekal hingga kini diperbuat daripada asas aloi, tetapi ia merupakan satu objek yang penting pada masa dahulu. Hampir tiada perkakas yang diperbuat daripada emas dan perak, yang masih kekal hingga ke hari ini. Barangan yang diperbuat daripada tembaga dan gangsa pula menunjukkan bakat dan kepintaran tukang logam serta kemampuannya daripada segi teknikal. Kebanyakan hasil-hasil kerja logam ditandatangani oleh pembuatnya. Ini memberi petanda bahawa hasil-hasil kerja tersebut merupakan satu objek yang berprestij pada ketika itu. Kesan yang ditinggalkan amat meluas, sehingga ia mempengaruhi penghasilan objek-objek lain seperti seramik. Di antara kebolehan tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang tukang logam adalah tatahan-tatahan indah pada emas, perak dan gangsa.

Semasa zaman awal Islam, kerja-kerja logam yang dihasilkan di Iran adalah antara yang terbaik di mata dunia. Lanjutan daripada tradisi Sassanid, tukang-tukang logam yang baru memeluk agama Islam turut menghasilkan perkakas-perkakas yang berkualiti tinggi. Logam-logam tatahan terus berkembang pada abad ke-9 dan ke-10 dan kemudiannya mencapai kemuncak penghasilannya pada abad-abad yang seterusnya. Tulisan-tulisan khat dan lakaran kehidupan seharian memenuhi permukaan pelbagai objek daripada mangkuk yang besar hinggalah kepada bekas dakwat. Ia mencipta suatu padanan warna yang pelbagai. Seni tatahan ini akhirnya merosot pada abad ke-14, tetapi beberapa buah objek yang berkualiti kemudiannya dihasilkan semula di Iran.

Hasil kerja logam pelbagai jenis telah berkembang di serata dunia Islam. India banyak mengeluarkan barangan bidri bertatah dan juga barangan tembaga beraloi, yang lazimnya bersepuh emas. Di China pula, kebanyakan barangan tembaga beraloi ditambah dengan enamel cloisonné. Sementara itu, era Safavid di Iran memberikan penekanan ke atas barangan keluli dan tembaga, yang biasanya bersalut timah, manakala sumbangan kerajaan Uthmaniyyah banyak bergantung kepada penghasilan barangan tembaga yang bertatah.

Kemahiran Kerja Logam

Pada abad ke-13, Mosul (yang kini sebahagian daripada Iraq), menandingi kemahiran kerja logam di Iran. Serangan orang Mongol ke atas Mesopotamia telah menyebabkan artisan-artisan bergegas ke arah barat, di mana para pemimpin kerajaan Mamluk dari Mesir dan Syria menjadi penaung utama hasil-hasil kerja seni mereka. Inskripsi dan lambang kebangsawanan menjadi ciri utama barangan logam. Sebahagian besar barangan logam seperti kendi, besen, kotak pen, dan yang paling dikagumi, iaitu kaki lilin turut dihasilkan. Manakala kebanyakkan daripada logam-logam berharga yang dibuat sebagai tatahan barangan logam dari bahagian-bahagian lain di serata dunia Islam, telah lama digumpil sejak dahulu lagi.